‘’Zara, macam mana kau boleh bertahan
dengan sikap kakak kau tu?’’ soal kawan Zara, Aliya. Ketika itu mereka sedang
berehat di kantin sekolah. Keadaan yang riuh rendah dengan suara pelajar yang
lain tidak membantutkan selera mereka untuk menjamu selera.
‘’Nak buat macam mana, kalau dah itu
sikap dia. Lagipun setakat ni, dia tak pernah lagi sakitkan aku,’’ ujar Zara
tenang. Bagi dia, asalkan Zira tidak melukakannya dia akan bertahan selama yang
mungkin.
‘’Aku cuma buat apa yang patut je. Aku
kesian dengan Zira sebab di rumah, dia sibuk kena buat kerja rumah sampai tiada
masa untuk kerja sekolah,’’ujar Zara. Dia melihat pada jam tangan. Jarum sudah
hampir pada angka 10.
Biarlah dia berbohong pada Aliya kali
ini. Yang sebenar, dia dipaksa oleh Zira untuk membuat kerja sekolah Zira.
Walhal, Zira langsung tidak membuat kerja rumah tetapi dia yang melakukannya
kerana didenda oleh ibunya atas kesalahan Zira. Dia sudah biasa dengan sikap
Zira yang membulinya.
Kring! Kring!
Loceng berbunyi menandakan waktu rehat
sudah tamat. Mereka bangun dan melangkah ke kelas tingkatan 2 Arif. Sedang
mereka berjalan, Zira menahan mereka.
‘’Aku
nak jumpa kau kejap, Zara,’’ ujar Zira. Sempat lagi dia menjeling kepada Aliya
bermaksud agar jangan menyibuk. Aliya melangkah berseorangan ke kelas sementara
Zira dan Zara pergi ke tandas.
‘’Aku nak kau menyamar jadi aku balik
sekolah nanti. Kalau aku dapat tahu yang kau tak menyamar, siap kau!’’ tegas
Zira berkata.
Zara hanya mengangguk perlahan kerana
jika dia menolak, pasti pelbagai fitnah yang Zira katakan pada ibu mereka. Zira
tersenyum puas dan terus keluar dari tandas dan masuk ke kelas. Zara berjalan
lemah masuk ke kelas. Dia takut memikirkan apa yang bakal terjadi selepas ini.
Sepanjang waktu pembelajaran, Zara langsung tidak dapat memberi tumpuan
sepenuhnya.
~~~~~~~
Sesampai sahaja di depan rumah banglo,
Zara keluar dari kereta. Dia melangkah perlahan masuk ke dalam rumah. Kelihatan
Datin Noraini sedang menyapu di ruang tamu. Zara terus melangkah dan naik anak
tangga bagaikan lipas kudung. Dia masuk ke dalam bilik Zira dan mengunci tombol
pintu. Dia meletakkan beg galas di atas meja belajar dan menuju ke bilik air.
Selesai mengambil wudhuk, dia keluar membentangkan sejadah kemudian memakai
telekung yang tersidai di ampai. Dia mengangkat takbir dan memulakan bacaan
dalam solat.
Zara memakai pakaian Zira dan juga harus
perwatakan kasar. Aku boleh. Getus hati Zara. Memberi semangat kepada dirinya
sendiri Dia melangkah keluar dari bilik dan turun ke ruang tamu.
‘’Zira mana adik kamu? Tak balik-balik
lagi?’’ soal Datin Noraini dari dapur. Dia sedang menyediakan minuman petang.
‘’Entah ibu. Dia tak cakap apa-apa pun
kat Zira,’’ ujar Zara. Siaran Running Man di televisyen langsung tidak dapat
menarik perhatiannya. Sekarang yang berada di fikirannya adalah kepulangan
Zira.
‘’Hisy. Nak kena budak ni. Minggu lepas
buat hal. Hari ni pun nak buat juga. Dah pukul 4 lebih tak balik lagi ni.’’
Datin Noraini membebel tentang sikap anaknya Zara yang semakin menjadi-jadi.
Dia pelik dengan sikap Zara yang langsung tidak membantah setiap denda yang
diberikan.
‘’Ala.. ibu macam tak tahu yang dia ni
pantang ditegur lagi dibuat adalah,’’ ujar Zara dengan terpaksa. Dia harus
berkata begitu kerana Zira bagaikan batu api yang memburukkan sikapnya didepan
ibu mereka dan dia harus lakukan seperti itu juga.
‘’Assalamualaikum!’’ laung seseorang
dari luar rumah. Kelihatan Dato’ Daud melangkah masuk ke dalam rumah. Zara
menjawab salam di dalam hati. Datin Noraini melangkah ke arah Dato Daud dan
mengambil beg kerja kemudian menyalam tangan Dato’ Daud. Datin Noraini membawa
beg itu ke bilik kerja Dato’ Daud.
‘’Bang jemput minum,’’ jemput Datin
Noraini.
‘’Mana Zara? Tak balik lagi ke?’’ soal
Dato Daud kehairanan.
‘’Entah. Zira pun tak tahu mana Zara
pergi lepas balik sekolah tadi,’’ jelas Datin Noraini. Zara resah apabila
ayahnya mula mempersoalkan ketiadaan kembarnya Zira.
Zara terus menonong menaiki anak tangga
tanpa menghiraukan ibu dan ayahnya. Masuk sahaja bilik, dia terus mengunci
tombol pintu dan mengambil telefon bimbit. Dia mendail nombor Zira dan lekapkan
telefon di telinga. Hanya suara operator yang kedengaran memberitahu nombor
Zira tidak diaktifkan. Zara mundar mandir di dalam bilik. Sebolehnya dia tidak
mahu disoal oleh ibu dan ayahnya. Apa yang boleh dia lakukan sekarang ini hanya
terperap di dalam bilik sehingga Zira pulang.
~~~~~~~
Zira perlahan-lahan menapak masuk ke
dalam rumah. Nasib baiklah dia mempunyai spare kunci rumah. Bagaikan pencuri
dia berhati-hati menaiki anak tangga.
‘’Ehem!’’
Deheman itu membuatkan kaki Zira kaku.
Dia menelan air liur berkali-kali. Tidak
sangka kepulangannya ditunggu oleh ayahnya. Dia berpaling. Ayahnya memandang
tajam ke arahnya. Zira hanya berdiri dan tidak melangkah ke ayahnya.
‘’Zara
pergi mana sampai malam baru nak balik?’’ soal Dato’ Daud garang. Zira hanya
diam tak berkutik. Dia mahu ayahnya marah terhadap dirinya agar esok hari Zara
yang kena denda.
‘’Ayah tanya jawab!’’ tengking Dato’
Daud. Dia menahan amarah yang terbuku selama ini. Kebisuan Zara bagaikan
mencabar kesabarannya. Dia menapak ke arah Zara. Dapat dia lihat muka Zara yang
tidak berperasaan.
‘’Zara naik atas sekarang,’’ arah Dato’
Daud. Dia takut sesuatu buruk akan
terjadi jika makin lama dia menghadap wajah Zara.Terus sahaja Zira naik tanpa
menghiraukan kemarahan ayahnya. Dia melangkah masuk ke dalam bilik tidur Zara.
Telefon bimbit dia keluarkan dari poket seluar dan mendail nombor Zara.
‘’Aku nak kau keluar dari bilik aku tapi
bukan sekarang. Tunggu aku ketuk pintu bilik baru kau keluar. Sekarang ayah ada
dekat ruang tamu. Faham?’’
‘’Ya.’’ Pendek sahaja balasan Zara. Dia
baru sahaja bangun dari tidur. Penat menunggu kepulangan Zira sehingga dia
terlelap. Melihat jarum jam pada angka 11 dia terkejut. Kali ini dia amat takut
apa yang bakal berlaku pada esok hari.
Kemana Zira pergi hingga lewat malam
begini? Apa yang alasan yang dia berikan kepada ibu dan ayahnya? Fikir Zara.
Selama setengah jam menunggu akhirnya kedengaran
ketukan di pintu. Zara bangun dan membuka pintu bilik. Zira terus menarik Zara keluar dan menutup
pintu meninggalkan Zara terkebil-kebil.
Tanpa membuang masa Zara terus masuk ke bilik tidurnya dan merebahkan badannya
di katil. Tidak sampai beberapa saat perlahan-lahan matanya terpejam.
~~~~~~~
Kedengaran riuh-rendah di dapur. Datin
Noraini dan pembantu rumah, Mak Cik Sarimah sedang menyediakan sarapan pagi
untuk keluarga. Mak Cik Sarimah hanya akan berada di rumah mengikut arahan
Datin Noraini. Kadang-kadang hingga malam dia harus berkerja. Mulanya Datin
Noraini mengajak Mak Cik Sarimah agar terus tinggal bersama tetapi ditolak
kerana Mak Cik Sarimah sayang mahu meninggalkan rumah arwah suaminya. Terdapat
banyak kenangan pahit dan manis yang berlaku.
Semua hidangan sudah siap dihidang di
meja makan. Sekarang hanya tunggu Dato’ Daud dan anak kembarnya turun makan.
Seperti biasa, Mak Cik Sarimah akan pergi ke bilik Zira dan Zara untuk mengejut
mereka.
Tok! Tok! Tok!
‘’Zira bangun sarapan,’’ Ajak Mak Cik
sarimah.
‘’Iya Zira bangun! Kacaulah!’’ laung
Zira dari dalam bilik.
Mak Cik Sarimah melangkah ke sebelah
bilik. Baru sahaja dia ingin mengetuk pintu bilik, sudah tersembul wajak Zara
tersengih.
‘’Emak tak payah nak ketuk pintu bilik
Zara.’’ ujar Zara.
GelaranEmak sudah sebati dengan Zara
kerana dia menganggap Mak Cik Sarimah sebagai ibunya yang kedua. Sejak kecil
lagi dia rapat dengan Mak Cik Sarimah berbanding dengan Datin Noraini kerana
ibunya lebih member perhatian kepada Zira.
Mak Cik Sarimah berkerut kening
bermaksud dia tidak mengerti apa yan dikatakan oleh Zara.
‘’Tadikan emak dah kejutkan kakak
lepastu kakak menjerit sampai terkejut Zira dibuatnya. Kakak macam loceng
kejutkan Zira tapi tak guna bateri.’’ Terkekeh-kekeh dua orang itu ketawa tanpa
disedari kehadiran Zira. Mati terus ketawa mereka. Zira terus melangkah tanpa
mempedulikan mereka.
‘’Zara pergi mana semalam sampai balik
lewat?’’ soal Dato Daud.Ketika itu semua orang sedang bersarapan pagi. Zara
terkesima. Apa jawapan yang harus aku berikan. Getus Zara. Dia pening apa yang
harus dia lakukan sekarang ini. Mahu berdiam diri atau beri jawapan yang tak
masuk akal.
‘’Zara pergi kelab malam, ayah,’’ ujar
Zira selamba. Semua mata memandang Zara tapi Zara memandang Zira.
Semua orang terkejut mendengar butir
bicara yang baru keluar dari mulut Zira. Zara apatah lagi. Dia betul-betul
tidak sangka kenyataan itu keluar dari mulut kakaknya. Apa yang dirancang oleh
Zira.
‘’Apa?! Betul ke apa yang Zira cakap,
Zara?!’’ soal Dato’ Daud garang. Datin Noraini hanya mengalirkan air matanya
selepas mendengar apa yang dikatakan oleh Zira. Walaupun pada mulanya dia tidak
mempercayai tetapi disebabkan sikap Zira yang tidak pernah membohonginya lantas
dia mempercayai kata-kata Zira.
‘’Tak, ayah. Zira bohong, Jangan percaya
cakap dia, ibu dan ayah.’’ jelas Zara. Dia cuba meraih kepercayaan dari kedua
orang tuanya.
‘’Apa yang kau cakapkan ni Zira?’’ ujar
Zara. Kali ini dia tidak boleh bersabar lagi. Fitnah yang dilontarkan oleh Zira
begitu melampaui batas kesabaran yang telah lama ditanam. Tidakkah Zira tahu
apa hukumnya menebar fitnah. Zara teringat ustazahnya mengajar tentang fitnah.
Fitnah itu lebih besar dosanya daripada
dosa membunuh(manusia yang tak bersalah), Alla S.W.T. berfirman yang maksudnya:
“Berbuat fitnah lebih besar daripada membunuh. ( Q.S. al-Baqarah: 217)
Allah S.W.T. berfirman yang maksudnya:
“Sesungguhnya orang-orang yang mendatangkan fitnah kepada orang-orang mukmin
laki-laki dan perempuan, kemudian mereka tidak bertaubat, maka bagi mereka azab
jahanam dan bagi mereka azab(neraka) yang sangat pedih”. (Q.S. al-Buruj: 10)
‘’Betullah yang kau pergi kelab malam
semalam. Kau yang beritahu aku.’’ Ujar Zira tidak bersalah. Dalam hati dia
melonjak gembira apabila ibu dan ayah hampir percaya akan kata-katanya.
Pang!
Zira terasa pipinya pedih akibat
tamparan Zara. Dia menoleh dan melihat mata Zara merah menandakan kemarahannya
sampai tahap maksima.
Pang!
‘’Berani kau tampar anak aku!’’ Tempik
Datin Noraini. Dia menampar Zara sehingga hujung bibir Zara sedikit luka. Zara
hanya berdiri tanpa melakukan apa-apa. Hati Zara bagai dihiris dengan sembilu
kerana ibunya bagaikan tidak menganggap dia sebagai anak. Bagaikan orang luar
berada di dalam rumah ini.
‘’Puaslah kau tengok aku macam ini!
Daripada dulu lagi kau selalu burukkan aku.’’ Jerit Zara. Dia menolak bahu
Zira. Nasib baik Zira sempat berpaut pada kerusi kalau tidak pasti jatuh. Zara
bagaikan dirasuk nafsu amarah. Tidak pernah dia mengamuk begini
‘’Ayah nak kamu berhenti sekolah.’’
Putus Dato’ Daud. Dia tidak tahan dengan perangai Zara yang makin melampau.
‘’Kenapa? Zara nak belajar ayah. Tolong
jangan buat Zara macam ni. Ini semua bohong. Zira fitnah ayah. Percayakan
Zara.’’ Rayu Zara. Dia menangis memikirkan nasib hidupnya kelak.
Mak Cik Sarimah hanya melihat dari
dapur. Kasihan dia melihat Zara yang menjadi mangsa keadaan. Dia tahu
kebenarannya kerana sejak kecil lagi dia menjaga kembar itu. Perilaku Zara
sudah dia dapat menangkap apa yang sedang berlaku semalam.
‘’Ayah tak kira. Zara tetap akan
berhenti sekolah. Dengan sikap Zara yang macam ni, ayah takkan benarkan Zara
keluar dari rumah kecuali ditemani oleh ibu, ayah, Zira, Mak Cik Sarimah atau
Pak Mad. Faham?’’
Zara hanya menganggukkan kepalanya. Dia
melangkah lemah menaiki tangga dan masuk ke dalam bilik. Dia merebahkan
badannya di katil dan membenamkan mukanya di bantal. Dia menangis sepuas hati.
Tok! Tok! Tok!
Mak Cik Sarimah perlahan-lahan membuka
pintu bilik. Dapat dia lihat Zara menangis teresak-esak. Dia melabuhkan
punggungnya di birai katil. Dia mengusap belakang badan Zara.
Zara bangun dan peluk erat tubuh badan
Mak Cik Sarimah. Dia begitu kecewa dengan sikap ahli keluarganya. Dia ingatkan
ibunya datang memujuk tetapi Mak Cik Sarimah yang datang.
‘’Sudahlah Zara. Tabah ya nak. Ini semua
dugaan yang Allah turunkan untuk kamu. Kamu kena sabar menempuhi dugaan ini.’’
Pujuk Mak Cik Sarimah. Dia menolak bahu Zara untuk melihat luka di bibir Zara.
Zara hanya membirakan sahaja Mak Cik
Sarimah merawat lukanya. Sakit di bibirnya tidak sama dengan sakit di hatinya
yang tidak boleh dipulihkan.
11 tahun selepas itu...
Zara sedang mengemop lantai tandas
sambil mendengar muzik menggunakan handsfree. Dia menyanyi perlahan.
Sebelum memulakan tugas, Zara sudah
meletakkan tanda orang sedang mencuci. Dia meletakkan sabun pencuci di seluruh
lantai tandas itu.
Tiba-tiba, Zira masuk ke dalam tandas.
Tergesa-gesa dia mahu masuk ke tandas. Zira tergelincir lalu jatuh.
‘’Aduh!’’ Zira menggosok-gosok
punggungnya yang terasa sakit.
Zara tidak sempat menahan Zira agar
berjalan berhati-hati. Dia hanya ketawa di dalam hati. Kasihan dia melihat Zira
yang terkial-kial hendak bangun. Dia menghulurkan tangan. Mahu membantu.
Zira menepis tangan Zara dan cuba mahu
bangun sendiri tanpa bantuan Zara. Dia pengang pada sinki dan bangun
perlahan-lahan. Habis basah belakang bajunya. Dengan perasaan marah, dia
melangkah keluar dari tandas.
Zara hanya melihat kelibat Zira hilang
dari pandangan.Selesai mencuci, dia berehat seketika di pantry. Dia membancuh
air milo. Dia terkenang kembali kenangan ketika dia remaja.
Dia tidak seperti remaja lain yang boleh
bersuka ria. Dia dikurung di dalam rumah. Tiada kawan. Hanya Aliya sahaja yang
masih berhubung dengannya walaupun dia sudah berhenti sekolah. Hubungan mereka
bagaikan isi dan kuku. Dia disuruh membuat semua kerja rumah sejak berhenti
sekolah. Semua kerja rumah dia yang lakukan. Sedikt sebanyak dia dapat belajar.
Dia bekerja sebagai tukang cuci di
syarikat ayahnya sejak berumur 18 tahun. Mungkin ada sebilangan orang jijik
dengan pekerjaan ini tapi tidak dia. Sekurang-kurangnya dia melakukan pekerjaan
halal.
Zira dapat melanjutkan pelajaran dan
terus mendapat jawatan tinggi di syarikat ayahnya. Walaupun sudah meningkat
umurnya, tetapi dia tidak berhenti menyusahkan hidup Zara.
~~~~~~~
Pulang sahaja dari kerja, Zara terus
naik ke bilik dan menyucikan diri. Dia turun ke bawah dan kelihatan Datin
Noraini dan Zira sedang menonton televisyen. Dia melangkah ke ruang tamu dan
duduk bersama mereka.
‘’Kenapa kamu basahkan baju Zira,
Zara?’’ soal Datin Noraini. Matanya masih di kaca televisyen.
Zara terpinga-pinga. Bila masa pula aku
basahkan baju dia. Dia yang jatuh dalam tandas tadi. Desis Zara.
‘’Zara langsung tak basahkan baju Zira,
ibu. Dia yang jatuh dalam tandas tadi sedang Zara cuci tandas,’’ jelas Zara.
Dia menjeling Zira. Dia ni memang tak puas hati dengan aku.
‘’Jangan nak tipu ibu. Zira beritahu yang
kamu sengaja basahkan baju dia sebab cemburu ibu tak belikan baju untuk kamu.’’
‘’Betul ibu, Zara tak basahkan baju dia.
Cemburu? Zara langsung tak kisah pasal baju tu. Macam tak biasa. Selalunyakan
ibu suruh Zara pakai baju lama ibu ataupun baju Mak Cik Sarimah.’’
‘’Kamu jangan nak sindir ibu pula.’’
Datin Noraini berang. Dia terasa dengan kata-kata Zara. Memang selama ini, dia
akan menyuruh Zara memakai baju lamanya.
Zara terkejut. Dia tiada niat pun
menyindir ibunya. Dia hanya cakap perkara yang sebenar.
‘’Zara minta maaf kalau buat ibu terasa
tapi Zara tiada niat untuk menyindir ibu.’’ Mohon Zara.
‘’Ibu jangan percaya cakap dia. Anak
kurang ajar. Berani dia sindir ibu.’’ Hasut Zira. Daripada tadi dia hanya
memerhati dan baru sekarang dia menyampuk memandangkan Zara secara tidak
sengaja membuat Datin Noraini marah.
‘’Sudah! Sekarang Zira dan Zara naik
atas masuk bilik.’’ Arah Datin Noraini. Dia pening dengan sikap anak kembarnya.
Zira dan Zara lantas menuju ke bilik
masing-masing. Zara merebahkan badannya di katil. Sedang dia mengelamun,
tiba-tiba dadanya sakit bukan kepalang. Pertama kali dia merasa sakit yang
begitu. Selang beberapa minit, sakit itu hilang. Dia merasa tidak sedap hati.
Bagaikan sesuatu buruk akan berlaku. Pening memikirnya dia akhirnya terlelap.
Zara terjaga daripada tidurnya setelah
mendengar azan Maghrib berkumandang. Dia menyucikan diri dan menunaikan solat
fardhu Maghrib. Sementara menunggu waktu Isyak, Zara membaca al-Quran dengan
khusyuk.
Selesai menunaikan fardhu Isyak, Zara
turun ke bawah untuk makan malam. Semua orang berada di situ melainkan Zira.
Zara duduk di tempat biasa.
‘’Zara kamu panggil Zira. Lambat pula
Zira turun.’’ Arah Dato’ Daud.
Lemah sahaja Zara mendengarnya. Dia
barusahaja turun, sudah kena naik semula. Mahu tidak mahu, digagahkan juga
kakinya memanjat anak tangga.
Tok! Tok! Tok!
‘’Zira, jom makan.’’
‘’Zira!’’
Apabila tiada sahutan dari Zira, Zara memulas tombol pintu dan menolak pintu
bilik Zira. Dia melangkah masuk dan mencari Zira. Di atas katil tiada. Dia
berjalan ke birai katil dan mendapati Zira terbaring di atas lantai sambil
memengang dadanya. Zara terus mengoncang bahu Zira ingin mengejutan Zira tetapi
Zira kaku. Zara keluar dari bilik dan terus memanggil ibu dan ayahnya.
~~~~~~~
‘’Macam mana keadaan anak saya doktor?’’
soal Datin Noraini cemas. Dia terkejut apabila Zara memberitahu Zira pengsan.
‘’Saya rasa lebih baik kita berbincang
di bilik saya. Mari.’’ Ajak doctor.
Zara hanya duduk termenung. Dia
merasakan kesakitan di dadanya petang tadi ada kena mengena dengan keadaan
Zira. Semoga keadaan Zira baik-baik sahaja. Doa Zara di dalam hati.
Zara bangun dan melangkah keluar dari
hospital dan menuju ke tempat letak kereta. Dia hanya duduk di dalam kereta
menunggu ibu dan ayahnya.
Zara pelik apabila Datin Noraini
menangis apabila sampai di kereta. Hatinya berdegup kencang. Dia hanya berdiam
diri ketika perjalanan pulang ke rumah. Sampai sahaja di rumah, Zira terus
menanyakan keadaan Zira pada ayahnya.
‘’Macam mana keadaan Zira, ayah?’’ soal
Zara berdebar-debar.
‘’Hati Zira rosak dan memerlukan
penderma dalam kadar segera kalau tidak Zira tidak dapat meneruskan lagi
kehidupannya.’’ Zara terkejut mendengar kata-kata Dato’ Daud. Hampir sahaja dia
pengsan mujur Dato’ Daud sempat menahan
dia daripada jatuh.
Zara melangkah lemah masuk ke dalam
biliknya. Dia betul-betul tidak sangka perkara begini berlaku. Sepanjang malam,
Zara langsung tidak dapat tidur memikirkan keadaan Zira.
Seminggu berlalu...
Dia berteleku di pusara itu. Manik-manik
jernih luruh bagai tiada penghujung dari kola air matanya. Dia berteleku lagi,
sesekali tangannya menguis daun-daun yang berselerak di sekitar pusara yang
masih merah itu.
‘’Zara.’’ Gemersik suaranya kedengaran.
Dia mengusap batu nisan putih di atas pusara itu.
‘’Zira, sudahlah tu. Biarkan dia pergi
dengan tenang.’’ Pujuk Dato’ Daud.
‘’Jom balik.’’ Zira akur dengan ajakan
ayahnya. Dia bangun dari silanya dan menggulung tikar. Maafkan aku,Zara.
Sampai sahaja di rumah, Zira terus melangkah
ke biliknya. Dia membuka tudung dan mengambil sepucuk surat yang terletak di
meja soleknya. Dia melabuhkan punggungnya di katil dan mula membaca.
Betapa mulianya hati Zara. Zira
betul-betul menyesal dengan apa yang dia lakukan pada Zara. Dia hanya sakit
hati dengan kesempurnaan Zara. Zara pandai. Zara cantik. Semuanya Zara sampai
dia terpinggir. Itulah sebabnya dia berkelakuan teruk terhadap Zara. Walaupun
sudah acap kali dia menyusahkan Zara, Zara tetap sayangkan dia tetapi dia
sebaliknya. Zira berjanji pada dirinya dia tidak akan mengulangi perbuatan
teruk itu lagi.
No comments:
Post a Comment